TIGA negara pimpinan junta Afrika Barat Niger, Mali dan Burkina Faso mengumumkan meninggalkan komuniti ekonomi negara Afrika Barat (ECOWAS) serta-merta pada Ahad.

Kenyataan itu dikeluar secara bersama oleh pimpinan tertinggi junta dan disiarkan di saluran televisyen nasional Niger.

Tiga negara berjiran itu diperintah oleh pegawai tentera junta melalui rampasan kuasa sejak tahun 2020.

Ia telah meletakkan mereka bertentangan dengan usaha dan ideologi seluruh blok Afrika Barat, yang menggesa mereka untuk kembali kepada pemerintahan demokrasi.

Selain itu, junta juga telah memutuskan hubungan ketenteraan yang telah lama terjalin dengan bekas pemerintah kolonial Perancis, memberi tamparan kepada pengaruh Perancis di rantau itu.

Ia juga merumitkan usaha antarabangsa untuk mengekang pemberontakan militan yang berterusan selama sedekad dan telah menjejaskan kestabilan wilayah terutamanya di wilayah Sahel.

Dalam menunjukkan kemerdekaan daripada Perancis dan ECOWAS, ketiga-tiga negara berkenaan telah berusaha untuk menjalinkan hubungan keselamatan, politik dan ekonomi yang lebih erat melalui kesatuan baharu yang dipanggil Alliance of Sahel States (AES).